SESB Kenakan Bil Anggaran, Tiada Bacaan Meter Sepanjang PKPB

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menetapkan bayaran bil semasa bulan ini secara anggaran berdasarkan bacaan bil terakhir sebelum ini kepada semua penggunanya di Sabah dan Labuan.

Bil semasa itu, bagaimanapun hanya dikeluarkan secara dalam talian berikutan pemberhentian sementara bacaan meter di premis pengguna sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di negeri ini dan Labuan.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Norhizami Abu Hasan, berkata langkah menghentikan bacaan meter itu dibuat selepas mengambil kira penularan pandemik COVID-19 yang semakin meningkat.

Katanya, bacaan meter di premis pengguna dihentikan secara berperingkat bermula pada 22 September lalu di daerah Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

“SESB turut mengambil keputusan menghentikan operasi bacaan meter bagi kawasan Kota Kinabalu, pada 1 Oktober lalu sebelum diperluaskan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 12 Oktober lalu.

“Keputusan ini dibuat bukan saja untuk keselamatan anggota kerja SESB tetapi juga orang awam. Operasi bacaan meter SESB dan penyerahan bil di premis pengguna akan disambung semula apabila keadaan semakin pulih,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Bagaimanapun, beliau berkata akaun pengguna masih dibilkan secara anggaran di dalam sistem SESB berdasarkan amaun bil pada bulan sebelumnya.

Bil anggaran itu, katanya akan diselaraskan apabila bacaan sebenar di premis pengguna disambung semula.

Beliau berkata, pengguna SESB boleh mendapatkan bil anggaran bagi bulan semasa dengan mendaftar ke Online Customer Service (OCS) SESB di www.ocs.sesb.com.my.

“SESB menyarankan pengguna mengemas kini maklumat data mereka bagi memudahkan informasi terkini mengenai perkhidmatan SESB dan bil disalurkan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS), yang akan dihantar kepada pengguna,” katanya.

Katanya, pengguna juga boleh menyemak bil elektrik masing-masing dengan membuat bacaan sendiri iaitu dengan mengambil bacaan terkini di meter elektrik premis dan menolaknya dengan bacaan semasa bil terakhir sebelum ini.

“Sebagai contoh bacaan semasa bil terakhir anda ialah 61069 kWh dan bacaan terkini di meter elektrik pengguna adalah 61701 kWh, jadi perbezaannya ialah sebanyak 632 kWh.

“Selanjutnya, untuk mendapatkan nilai bil sebenar, pengguna boleh melayari https://www.sesb.com.my/content/tariff-calculator-st untuk mendapatkan kalkulator tarif Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Pengguna juga boleh menyalurkan maklumat bacaan meter ke nombor Whatsapp rasmi SESB di talian 019-8525427 atau email ke [email protected] untuk mendapatkan bil sebenar,” katanya.

Pengguna boleh menghubungi SESB Careline di talian 15454 atau 088-515000, 019- 852 5427 (Whatsapp) atau melalui laman sosial SESB di Facebook SESB Careline untuk pertanyaan.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *