Biar Warisan Menang Kerusi Batu Sapi Tanpa Bertanding, Kata Najib

Najib Razak berkata, satu lagi gelombang Covid-19 yang berpunca daripada kempen PRK dapat dielakkan, jika Warisan diberikan kemenangan percuma.

PETALING JAYA: Najib Razak menggesa semua parti politik membenarkan Warisan memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi tanpa bertanding bagi mengelakkan satu lagi gelombang Covid-19 berpunca daripada kempen pilihan raya kecil.

Bekas perdana menteri itu turut menggesa kerjasama politik untuk memastikan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan diluluskan.

Pilihan Raya Kecil Batu Sapi dijadual diadakan 5 Dis ini dan penamaan calon pada 23 Nov ini, susulan kematian penyandangnya dari Warisan, Liew Vui Keong pada 2 Okt lalu.

Bagaimanapun, ramai yang bimbang gelombang baru Covid-19 akan berlaku susulan lonjakan kes selepas Pilihan Raya Negeri di Sabah pada 26 Sept lalu dan ahli politik didakwa mengutamakan kepentingan diri berbanding kebajikan rakyat.

Kebimbangan sama turut dibangkitkan untuk PRN di Sarawak.

Bagaimanapun, Najib berkata, masih ada masa menjelang PRN Sarawak.

“Terdapat peruntukan undang-undang yang membolehkan Sarawak tunggu sehingga Jun 2021 untuk bubarkan DUN supaya pilihan raya negeri dilaksanakan pada Ogos 2021 – iaitu hampir 10 bulan kemudian.”

Belanjawan 2021

Najib berkata, jika bimbang Belanjawan 2021 tidak diluluskan sehingga menyebabkan kerajaan tumbang, Perikatan Nasional perlu berbincang dengan semua pihak untuk memastikan ia tidak dibantah.

“Saya percaya tiada ahli Parlimen mahu membantah bajet yang dirangka untuk bendung Covid, pulihkan ekonomi dan bantu rakyat ketika negara amat memerlukannya.

“Sebab ia hanya akan mengundang kemarahan pengundi terhadap ahli Parlimen yang tak sokong – sebagaimana yang berlaku pada rang Undang-undang bajet tambahan Covid yang diluluskan dalam Parlimen pada Ogos lalu.”

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, rakyat tentu akan menghukum ahli politik atau parti yang memaksa Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan ketika gelombang ke-3 Covid-19 belum ditangani sepenuhnya.

Darurat

Najib berkata, jika darurat diisytiharkan, ia akan menghantar mesej salah kepada pengundi yang kerajaan PN rapuh, rakus kuasa dan mementingkan diri.

“Saya bimbang persepsi ini akhirnya menjadi langkah memakan diri PN.”

Pelbagai pihak menyuarakan bantahan terhadap cadangan mengisytiharkan darurat untuk membendung penularan Covid-19.

Bagaimanapun, Agong memutuskan tiada keperluan mengisytiharkan darurat di mana-mana kawasan di seluruh negara ketika ini kerana kerajaan berjaya menangani pandemik itu dengan baik dan berkesan.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *