Muhyiddin, Anwar Perlu Berdamai Dan Berunding

Pemimpin politik daripada kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang perlu berfikiran lebih besar dan perlu henti berpolitik supaya negara tidak terjebak dalam kitaran sandiwara politik yang berterusan. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berdamai dan memberikan fokus kepada rundingan agar masalah yang melanda negara dapat diatasi.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, desakan pemimpin pembangkang supaya Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri perlu diketepikan tatkala negara berdepan dengan pelbagai krisis seperti krisis wabak COVID dan krisis ekonomi.

“Di sebalik tuntutan pembangkang yang memohon beliau (Muhyiddin) meletak jawatan, saya fikir buat sementara waktu ketepikan (tuntutan) itu.

“Paling penting sekarang adalah untuk Perdana Menteri memulakan langkah dengan menghubungi pihak tertentu, khususnya Ketua Pembangkang (Anwar Ibrahim) untuk berunding bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi dan bagaimana untuk mendapatkan sokongan.

“Saya percaya langkah itu telah diambil oleh pihak yang dipertanggungjawabkan beliau (Muhyiddin) untuk menghubungi Ahli Parlimen daripada pembangkang bagi memastikan mereka dapat memahami implikasi dan kesan, sekiranya mereka tidak menyokong Belanjawan 2021 (yang akan dibentangkan) nanti,” kata Dr Jeniri kepada Astro AWANI pada Isnin.

Selain itu, Dr Jeniri berkata semua pemimpin politik perlu berjiwa besar serta membuat keputusan yang mengutamakan kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan parti politik masing-masing.

Katanya, politik daripada kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang perlu berfikiran lebih besar dan perlu henti berpolitik supaya negara tidak terjebak dalam kitaran sandiwara politik yang berterusan.

“Sampai bila kita harus berada dalam plot, drama dan sandiwara politik yang memudaratkan rakyat?

“Pemimpin politik daripada kedua-dua blok perlu berfikiran lebih besar dan berjiwa besar serta harus membuat satu keputusan berdasarkan prinsip kearifan dan mengutamakan kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan parti mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan pentingnya ‘kepimpinan melalui teladan’ yang perlu ditonjolkan ahli-ahli politik dalam memastikan negara mampu melangkah ke hadapan.

“Dengan hanya cara itu, kita dapat melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara dan bangsa yang lebih matang.

“Ia harus dibuktikan oleh pemimpin politik juga iaitu bersifat matang dan mengambil keputusan yang matang,” katanya. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *