COVID-19: Ranau, Kundasang Terkawal

Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga ADUN Kundasang, Datuk Dr Joachim Gunsalam (tiga kanan) menyerahkan bantuan bakul makanan kepada penduduk yang terjejas COVID-19 di Ranau. NSTP/Ihsan Pejabat Timbalan Ketua Menteri Sabah

RANAU: Penularan pandemik COVID-19 di daerah ini, termasuk kawasan pelancongan tanah tinggi di Kundasang masih terkawal meskipun disenaraikan antara zon merah bersama 16 daerah lain di seluruh negeri, setakat ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata ia berikutan ketegasan Jabatan Kesihatan, Pejabat Daerah dan agensi penguat kuasa lain seperti polis menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, pemantauan rapi terhadap penduduk yang menjalani kuarantin di rumah selain menempatkan segera penduduk bergejala di pusat kuarantin disediakan di daerah ini memastikan pandemik itu dapat dikawal dengan baik.

“Ketika ini ada tiga pusat kuarantin di Ranau yang dikawal selia oleh Pusat Kawalan Rawatan COVID-19 (PKRC) iaitu Rumah Rehat, Pusat Latihan Kem Bina Negara (PLKN) dan Asrama Kompleks Lembaga Sukan Ranau.

“Semua pesakit positif COVID-19 yang menjalani rawatan di bawah penyeliaaan PKRC di daerah ini membabitkan mereka yang dikategorikan dalam tahap satu dan dua.

“Bagi pesakit yang dikategorikan berada pada tahap tiga, empat dan lima, mereka dipindahkan ke wad di Hospital Queen Elizabeth HQE) di Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, sebelum ini diberikan taklimat mengenai pemantauan COVID-19 di Pejabat Daerah Ranau.

Setakat semalam, Ranau mencatat 65 kes aktif positif COVID-19 dengan kumulatif kes sebanyak 91 orang.

Seperti daerah lain di seluruh Sabah, kes positif COVID-19 di Ranau mula meningkat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan lalu.

Kebimbangan mengenai penularan pandemik itu turut memaksa Taman-Taman Sabah menghentikan aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu dan operasi Taman Kinabalu, Kundasang yang menjadi destinasi pelancongan popular di Ranau. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2248