Pertelingkahan Pemimpin Tidak Gambar Negara Mahu Bersatu Hati Perangi Covid-19 – Salleh

Adun Usukan, Salleh Said Keruak berkata, sama ada darurat diisytiharakan atau tidak, suasana politik negara tetap huru-hara dengan pelbagai perbezaan pandangan.

PETALING JAYA: Spekulasi membabitkan perisytiharan darurat yang mungkin dilaksanakan sehingga menimbulkan keresahan dan pertikaian antara pemimpin politik tidak menggambarkan Malaysia sebagai negara yang ingin bersatu hati dalam memerangi ancaman Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan, Salleh Said Keruak berkata, apakah pemimpin politik ketika ini melupakan rakyat dan tidak mendengar keluhan mereka.

Beliau berkata, hanya ada satu jalan bagi mengakhiri kemelut yang dihadapi iaitu jalan kerjasama dan kesatuan sebagai sebuah negara.

“Panggillah apa pun, gencatan politik, moratorium politik atau apa pun, paling penting sekali semua ahli politik berhenti bermain politik dan tumpukan perhatian kepada nasib rakyat dan masa depan negara.

“Kita perlu segera ambil langkah berani dan betul,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 1,228 kes Covid-19 dengan 7 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Noor Hisham berkata, Sabah terus mencatatkan jumlah kes terbanyak, iaitu 889 kes dengan 500 kes daripada kluster aktif dan selebihnya dikesan melalui saringan kontak rapat dan saringan lain.

Salleh berkata, rakyat ketika ini semakin gelisah dan bimbang mengenai penularan wabak Covid-19, namun mereka seolah-olah terpaksa meletakkan kebimbangan itu di tempat ke-2 nombor du, kerana ada perkara lebih besar yang perlu dibimbangi, iaitu ketidakstabilan politik negara.

“Berita Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menghadap Yang Di Pertuan Agong menjadi asas spekulasi dan komentar ahli politik. Belum selesai perjumpaan di Istana Abdulaziz, Kuantan, portal media dan media sosial pantas memuatkan naratif darurat.

“Pada masa yang sama ahli politik tidak melepaskan peluang untuk berkongsi pendirian masing-masing di media.

“Ada yang cadang perdana menteri letak jawatan. Ada yang cadang Kabinet letak jawatan. Bilakah semua ini akan berakhir?

“Ada atau tidak pengisytiharan darurat oleh Agong, suasana politik negara tetap huru-hara dengan pelbagai perbezaan pandangan.

“Pandangan ini hanya tertumpu kepada kepentingan peribadi, pendirian parti dan jarang sekali tertumpu kepada apa rakyat mahukan,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1003