Covid-19: Kes Baharu Menurun Kepada 823 Kes

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19 di Malaysia hari ini mencatatkan penurunan berbanding semalam dengan kembali kepada tiga angka iaitu 823 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, Sabah masih mencatatkan kes terbanyak dengan 533 kes.

Bagaimanapun, menurutnya, ia menunjukkan penurunan sebanyak 356 kes (40 peratus) berbanding jumlah yang dilaporkan di negeri itu semalam.

Katanya, penurunan itu berlaku berikutan jumlah kes baharu yang dicatatkan di Penjara Kepayan, Kota Kinabalu menurun daripada 434 kes baharu semalam kepada 67 kes hari ini.

“Ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 26,565 kes dengan kes aktif dengan kebolehjangkitan ketika ini adalah 9,202 kes.

“Negeri lain iaitu Pulau Pinang mencatatkan 97 kes baharu, Selangor (88 kes), Wilayah Persekutuan Labuan (26 kes), Negeri Sembilan (22 kes), Sarawak (16 kes), Johor (15 kes) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (10 kes).

“Selain itu, Terengganu turut mencatatkan tujuh kes baharu) diikuti Perak (6), Kedah (1), Kelantan (1) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1),” katanya.

Menurutnya, bilangan kes pulih Covid-19 hari ini pula mencatatkan sebanyak 579 kes dan menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah 17,134 kes atau 64.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, terdapat juga pertambahan lapan kes kematian berkaitan Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia mencecah sebanyak 229 kes atau 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 99 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan 30 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

799