Covid-19: Kes Kematian Di Sabah Hampiri 100 Kes

KUALA LUMPUR: Kesemua lapan kes kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia hari ini, semuanya dilaporkan di Sabah.

Lapan kes itu termasuk kematian pertama di daerah Telupid.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kematian dilaporkan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan satu kematian masing-masing dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth, Hospital Tawau, Hospital Semporna, Hospital Lahad Datu.

Dengan lapan kes kematian terbaru dilaporkan hari ini, ia menjadikan kes kematian yang dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 229 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 98 kes.

Secara keseluruhan, sebanyak 823 kes positif baharu dilaporkan di Malaysia, dengan 533 kes dilaporkan di Sabah.

Empat daripada sembilan kluster baharu dilaporkan hari ini berada di Sabah iaitu kluster Titir, Keningau dengan keseluruhan 23 kes positif; kluster Omadal, Semporna (21); kluster Bandaran (12) dan kluster Jambul, Sandakan (5).

Kluster baharu lain yang dilaporkan adalah kluster Seladah, Sarawak dengan empat kes baharu; kluster Jernih, Negeri Sembilan (11); kluster Mentar, Selangor (5), kluster Bayan, Pulau Pinang (2) dan kluster Makekar, Terenggau (7).

Sementara, 26 kes baharu dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 26,565 kes. Sebanyak 9,202 kes aktif dengan 99 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 30 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Manakala, kes pulih yang dilaporkan hari ini adalah 579 kes, dengan bilangan kumulatif sebanyak 17,134 kes.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1605