PKPB, Sekatan Jalan Raya Dan Pemeriksaan Kenderaan Akan Diperketatkan

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia akan memperketatkan Sekatan Jalan Raya (SJR) dan pemeriksaan kenderaan selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua daerah di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Menteri Kewangan II Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata demikian dalam satu kenyataan pada Selasa.

Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah melaksanakan kerja-kerja disinfeksi setiap hari terutama di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menurutnya, sebanyak 88 kawasan telah dilakukan disinfeksi semalam di kawasan-kawasan awam seperti pasar-pasar awam, bangunan kerajaan, premis-premis perniagaan, taman awam, taman permainan, kawasan tamu, kawasan letak kereta, surau, bangunan/kawasan di bawah kawalan Majlis Daerah, tandas-tandas awam, dewan masyarakat, terminal, jeti, gerai makan dan kawasan-kawasan berisiko yang menjadi tumpuan awam.

Masidi juga berkata PBT yang melaksanakan disinfeksi berkenaan adalah Majlis Perbandaran Sandakan, Majlis Daerah Pitas, Tuaran, Penampang, Putatan, Tenom, Keningau, Tambunan, Sipitang, Beaufort, Papar, Beluran, Kinabatangan, Kunak, Semporna, Lahad Datu dan Lembaga Bandaran Kudat.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan perincian prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti pertanian dan perikanan di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Perikanan, aktiviti-aktiviti perkilangan dan pembuatan di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Pengurusan Sumbangan dan Bantuan daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, pemimpin masyarakat dan orang perseorangan.

SOP berkenaan termasuk masa operasi dari jam 6 pagi hingga 6 petang serta kapasiti pekerja atau individu yang terlibat dalam aktiviti berkenaan.

Mengenai pengagihan bantuan bakul makanan (food basket) kepada golongan sasar, Masidi berkata bahawa ia sedang berjalan lancar yang mana sehingga hari ini, sebanyak 62,002 bakul makanan telah diagihkan.

Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Masidi berkata jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri Sabah pada 20 Oktober 2020 adalah sebanyak 673 kes dengan bilangan kematian adalah dua orang. 

Katanya, jumlah kumulatif kes COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 8,755 kes manakala seramai 3,223 pesakit dilaporkan telah sembuh dan seramai 5,466 pesakit sedang menerima rawatan dalam wad di seluruh Sabah.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *