Jambatan Kampung Piasau Selamat Digunakan

KOTA BELUD : Jambatan Kampung Piasau dekat sini yang terkesan dengan kejadian tanah runtuh baru-baru ini selamat digunakan oleh semua jenis kenderaan.

Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jambatan berkenaan menjadi laluan utama penduduk kampung berkenaan dan kawasan sekitarnya.

Kerja pembaikan jambatan Kampung Piasau.

Pihaknya dimaklumkan oleh bahagian kejuruteraan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri yang mengesahkan jambatan berkenaan masih selamat untuk digunakan.

“Tidak perlu bimbang kerana keadaan jambatan ini masih baik, kukuh dan hanya memerlukan sedikit pembaikan.

“Ia bagi menghalang hakisan berlanjutan dan kerja untuk membaiki kepala jambatan akan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, bagi menangani masalah hakisan tanah di kawasan terbabit, kerja-kerja pembaikan kepala jambatan sepatutnya mula dilaksanakan pada Selasa lepas.

Kerja pembaikan jambatan Kampung Piasau.

Bagaimanapun jelasnya, faktor cuaca hujan yang mengakibatkan banjir dan air deras menyebabkan kerja pembaikan terpaksa ditangguhkan.

Menurutnya, pihak kontraktor yang akan melaksanakan kerja pembaikan turut menghantar beberapa mesin ke kawasan berkenaan.

“Jika keadaan cuaca mengizinkan, kerja pembaikan akan dimulakan segera dengan membaiki kepala jambatan dan memasang ‘stone pitching’ di bahagian tebing yang terhakis,” katanya.

Dalam pada itu katanya, jambatan di Kampung Melangkap yang runtuh ekoran banjir baru-baru ini siap dibaiki dan kini boleh digunakan oleh penduduk setempat.

Bung berkata, kerja-kerja pembaikan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu selepas lawatannya meninjau sendiri kerosakan jambatan Melangkap baru-baru ini.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan JKR pusat dan daerah atas komitmen mereka dalam menangani masalah ini.

“Kota Belud antara daerah yang banyak mengalami kerosakan jalan dan jambatan runtuh ekoran bencana banjir yang berulang kali berlaku di daerah ini.

“Bagi daerah lain, saya juga meminta pihak jurutera daerah untuk memantau keadaan dan ini selari dengan tanggungjawab pasukan petugas khas yang kita tubuhkan bagi memantau keadaan ini,” jelasnya.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2021