Kereta Rempuh Cermin Pintu Bank, Wanita Dan Dua Anak Selamat

Keadaan kereta mangsa yang merempuh cermin pintu utama bank berkenaan.

SIPITANG: Seorang wanita bersama dua anaknya bernasib baik dan terselamat dari sebarang kecederaan apabila kenderaan mangsa merempuh cermin pintu utama sebuah bank di sini.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 8.45 pagi tadi.

Keadaan kereta mangsa yang merempuh cermin pintu utama bank berkenaan.

Menurutnya, semasa kejadian, kedua-dua anak mangsa masing-masing berumur dua dan lima tahun berada dalam kenderaan terbabit.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa yang juga pemandu kereta berkenaan parkir di hadapan sebuah bank sebelum keluar berbaris di mesin juruwang automatik (ATM) bank berkenaan.

“Mangsa bagaimanapun, meninggalkan kedua-dua anaknya dalam kenderaan dengan keadaan enjin kereta masih hidup.

“Semasa pemandu berbaris di luar ATM, tiba-tiba orang awam menjerit dan mangsa mendapati kenderaannya merempuh pintu utama bank menyebabkan cermin pintu mengalami kerosakan,” katanya ketika dihubungi mengesahkan kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan siasatan mendapati ia berlaku disebabkan oleh kecuaian pemandu.

Champin berkata, pemandu didapati keluar dari kenderaan dalam keadaan enjin masih hidup atau gear terletak di posisi ‘Drive’.

Pihaknya menyiasat kes berkenaan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) iaitu gagal mengawal kenderaan semasa memandu dan menyebabkan kemalangan.

Pada masa sama, kemalangan berkenaan turut tular di media sosial Facebook selepas dikongsi netizen yang menyaksikan kejadian terbabit.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *