JPN Tutup Semua Pejabat Di Sabah

KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah menutup operasi semua pejabatnya di negeri itu, bermula esok.

Pengarah JPN Sabah, Khairrul Aminus Kamaruddin, berkata keputusan terbabit diambil berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19.

“Setelah meneliti perkembangan dan situasi semasa penularan COVID-19 di seluruh Sabah, pengurusan tertinggi JPN memutuskan operasi semua pejabat JPN di Sabah ditutup mulai esok.

“Penutupan terkini membabitkan pejabat JPN Sabah di daerah berstatus hijau dan kuning iaitu Kota Marudu, Pitas,Telupid, Tongod, Kuala Penyu, Sipitang, Tenom dan Nabawan.

“Keputusan ini diambil selaras arahan kerajaan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di seluruh negeri dan usaha jabatan ini memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Khairrul berkata, kelonggaran diberi kepada pelanggan sekiranya mempunyai keperluan mendesak dan mereka boleh menghubungi JPN Sabah.

Katanya, pelanggan dinasihatkan menangguhkan urusan di JPN sehingga pelaksanaan PKPB berakhir.

Sebelum ini, JPN Sabah menutup operasi di semua pejabatnya di kawasan zon merah.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1918