COVID-19: Kes Positif Di Sabah Dijangka Meningkat Mendadak Esok – Masidi

KOTA KINABALU: Bilangan kes positif COVID-19 di daerah Kota Kinabalu dijangka akan meningkat secara mendadak bermula esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata ia susulan saringan kes yang melibatkan banduan dan kakitangan di Kompleks Penjara Kota Kinabalu di Kepayan.

“Kluster baru yang kita kenali sebagai Kluster Kepayan ini, kes positif melibatkan kluster ini akan meningkat secara mendadak bergantung kepada ujian COVID-19 banduan yang berada di penjara Kepayan.

“Mengikut laporan awal dan kajian yang dibuat kalangan banduan, hampir 60 peratus setakat ini adalah positif.

“Jumlah banduan tempatan di penjara terbabit seramai 2,700 orang dan selepas semua disaring dan sekiranya kes positif tinggi maka ia secara langsung akan menyumbang kepada peningkatan kes yang tinggi di Kota Kinabalu,” katanya dalam sidang media harian di Kota Kinabalu pada Rabu.

Jelasnya, Jabatan Kesihatan memberi fokus sepenuhnya kepada kluster terbabit dan ujian sedang giat dijalankan termasuk yang melibatkan keluarga kakitangan yang bertugas di penjara terbabit.

Masidi turut memaklumkan empat kluster baharu termasuk satu kluster yang belum dinamakan melibatkan pekerja cari gali.

Kluster tersebut adalah Kluster Basung, Kluster Inai dan Kluster Tempayan.

“Saya telah dimaklumkan dengan kewujudan kluster ini dan ia belum dinamakan dan hasil saringan yang dilakukan ke atas 29 pekerja cari gali terbabit 25 daripada mereka telah disahkan positif COVID-19,” katanya.

Pada Selasa, jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah adalah sebanyak 535 kes dengan lima kematian.

Secara keseluruhan, jumlah kumulatif kes COVID-19 di Sabah adalah sebanyak 9,290 kes dan seramai 3,705 pesakit dilaporkan telah sembuh.

Manakala, seramai 5,513 pesakit sedang menerima rawatan dalam wad di seluruh Sabah. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

12839