Henti Kongsi Identiti Pesakit COVID-19 – PKK Tawau

Foto ihsan Facebook Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau

TAWAU: Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau menggesa orang ramai menghentikan perkongsian nama tiga pesakit COVID-19 di media sosial yang kononnya diminta tampil ke pejabat itu dengan segera.

Memetik kenyataan di Facebook rasmi, pejabat kesihatan itu sebaliknya menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau mendedahkan biodata pesakit COVID-19.

“Terdapat penularan di laman media sosial berkenaan nama tiga pesakit positif COVID-19 beberapa hari lalu dan masih tular sehingga hari ini.

“Biodata pesakit COVID-19 adalah sulit. Terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menularkan perkara itu,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, perkongsian itu memberi kesan kepada individu yang tidak berkaitan disebabkan nama yang hampir sama sehingga ‘dipulaukan’ segelintir masyarakat.

Sejak kelmarin tular di media sosial termasuk kumpulan WhatsApp yang mendakwa Kementerian Kesihatan (KKM) Kubota cuba menghubungi tiga penama yang disahkan positif COVID-19.

Bagaimanapun ketiga-tiga penama terbabit gagal dihubungi selain meminta orang ramai yang mengenali atau mengetahui alamat mereka untuk tampil membantu KKM.

“Sila hentikan perkongsian yang tidak tepat ini bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

“Jangan wujudkan stigma kepada pesakit COVID-19 dan ahli keluarga, mereka bukan penjenayah, pesakit yang sembuh dan discaj daripada hospital tidak akan menjangkiti individu lain, mainkan peranan anda dengan memberi sokongan,” menurut kenyataan itu.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *