Tiada Jaminan PM Seterusnya Dapat Bertahan Lama, Kata Jeffrey

Jeffrey Kitingan berkata, Muhyiddin Yassin menerajui kerajaan ‘dengan baik’.

PETALING JAYA: Presiden STAR, Jeffrey Kitingan menolak usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sebagai membuang masa kerana tiada jaminan siapa saja yang memegang jawatan tertinggi itu selepas ini dapat bertahan lama.

Beliau turut menyifatkan cadangan untuk Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri sementara sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 sebagai tidak logik dan Muhyiddin menyandang jawatan tertinggi itu dengan baik.

“Jika mereka kata Muhyiddin tak mempunyai (sokongan) majoriti ahli Parlimen, apa yang membuatkan mereka fikir Mahathir ada (sokongan majoriti)? Beliau hanya ada 5 ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menggesa sekutu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhenti berpolitik buat masa ini dan mengukuhkan pentadbiran semasa, bukannya “memeras ugut” Muhyiddin.

Katanya, negara sudah berdepan krisis ekonomi dan kesihatan akibat Covid-19, oleh itu ketidakstabilan politik tidak patut ditambah kepada masalah negara.

Beliau memberi amaran kejatuhan kerajaan PN boleh membawa kepada pengisytiharan darurat untuk menghentikan perbalahan politik dan membenarkan negara fokus kepada usaha memerangi Covid-19.

Minggu lalu, beberapa ahli Parlimen, termasuk Mahathir mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin. Cubaan pada Mei lalu tidak berjaya kerana kekurangan masa di Dewan Rakyat.

Ini menyusul pengumuman Presiden PKR, Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5630