Ribuan Banduan, Kakitangan Penjara Kepayan Bawah PKPD Bermula 21 Oktober

PETALING JAYA: Penjara Kepayan dan kuarters kakitangannya di Kampung Matambai, Kota Kinabalu di Sabah dikenakan kawalan ketat susulan peningkatan kes Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata perintah kawalan pergerakan diperketatkan ke atas 3,511 orang, merangkumi 2,914 tahanan dan 597 kakitangan, berkuatkuasa 21 Oktober hingga 3 November.

Kawalan ketat ini bagi memudahkan pelaksanakan saringan Covid-19, dan membolehkan pergerakan keluar masuk dikawal.

Sementara itu, Ismail menegaskan kerajaan tidak menghalang rakyat Malaysia di Singapura pulang ke negara ini.

Terdapat beberapa kategori permohonan bagi urusan keluar masuk ke Malaysia dalam tempoh PKP Pemulihan sehingga 31 Dis ini yang boleh dipohon melalui MyTravelPass.

“Ini boleh diakses di laman sesawang rasmi imigresen,” katanya.

Bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan tidak mahu pulang dengan menggunakan Periodical Commuting Arrangement (PCA), mereka boleh terus ke Pintu Masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) atau Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari.

“Maklumat lanjut boleh dirujuk kepada imigresen dan Kementerian Luar Negeri,” katanya.

Sementara itu, Ismail melaporkan sebanyak 649 individu ditahan kerana ingkar arahan PKP, dengan 213 didapati tidak memakai pelitup muka dan 151 lagi kerana berkaitan penjarakan fizikal.

Selain itu, turut ditahan 75 orang kerana aktiviti pusat hiburan.

Daripada jumlah tahanan itu, seramai 606 individu dikompaun dan 43 individu direman. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *