Saat Menyedihkan Urus Jenazah Covid-19

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan Abam Botak Van Jenazah dalam mengurus, memandikan dan mengkafankan jenazah yang meninggal dunia akibat Covid-19.

SANDAKAN: “Tiada peluang langsung untuk ahli keluarga melihat jenazah (pesakit Covid-19), ada antara mereka meminta kami merakam gambar dan video ketika proses pengebumian, ia saat yang sangat menyedihkan,” kata Yunizam Yusop.

Itu antara pengalaman Yunizam, 32, bersama rakan lain dalam mengurus, memandikan dan mengkafankan jenazah yang meninggal dunia akibat Covid-19 di daerah ini sejak penularan wabak itu semakin kritikal di Sabah.

Bagi Yunizam, dia dan rakan setugas perlu cekal, tahan dari segi mental dan fizikal serta perlu sentiasa bersiap sedia berhadapan tugasan menguruskan jenazah dengan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, sejak dua tahun menawarkan khidmat menguruskan jenazah secara percuma, pengendalian mayat pesakit Covid-19 memang berbeza daripada yang biasa dilakukan untuk mengelak mereka dijangkiti wabak pandemik itu.

“Seperti semalam (kelmarin), kami membantu mengebumikan 12 pesakit Covid-19 berusia lingkungan 40-an dan ke atas.

“Tugas kami bermula sebaik sahaja pihak hospital mengumumkan kematian (berkaitan Covid-19),” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Mengenai protokol pengurusan jenazah Covid-19, Yunizam berkata, sebaik menerima panggilan daripada hospital, pihaknya akan mengurus, memandikan dan mengkafankan jenazah kemudian mengadakan solat jenazah mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, ketika urusan pengebumian, perjalanan mereka dari hospital ke tanah perkuburan akan diiringi polis dan juga kakitangan hospital.

Katanya, berikutan protokol ketat daripada kerajaan, tiada ahli keluarga yang dibenarkan membuat penghormatan terakhir untuk jenazah.

“Ia sangat menyedihkan, tetapi kumpulan (pengurusan jenazah) saya perlu kuat untuk bersama menunaikan tanggungjawab ini dengan pasukan barisan hadapan yang lain,” katanya.

Sandakan ketika ini antara 16 kawasan zon merah di Sabah. Selain 16 kawasan zon merah itu, ada tujuh kawasan disenarai kawasan kuning dan hanya Tongod dan Nabawan tidak merekodkan sebarang kes.

Sabah mencatatkan lebih 4,650 kes aktif dan merekodkan 64 kematian di seluruh negeri itu. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

7914