PKPB: Dua Individu Dalam Satu Kenderaan Dikompaun Tidak Benar

Teks dan gambar kompaun tular dikenakan kepada tiga individu selepas gagal mematuhi SOP PKP

PENAMPANG: Polis hari ini mengesahkan gambar kompaun yang tular di media sosial semalam berkaitan kegagalan pesalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Penjelasan itu sekali gus menafikan kompaun berkenaan membabitkan penguatkuasaan SOP kedudukan individu dalam kenderaan iaitu penumpang perlu duduk di belakang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, IPD Penampang terkesan dengan mesej yang ditularkan dan menegaskan maklumat tersebut tidak tepat dan tiada kaitan dengan imej kompaun.

“Imej kompaun itu membabitkan kesalahan dikenakan terhadap tiga individu menaiki sebuah kenderaan dari satu lokasi pada 16 Oktober lalu.

“Kompaun dikeluarkan kerana tidak patuh kepada SOP PKPB iaitu hanya dua orang sahaja dibenarkan dalam kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tiga individu yang dikenakan kompaun selepas didapati melanggar SOP PKPB.

Katanya lagi, ketiga-tiga individu itu dikenakan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

“Polis memandang berat perkara ini dan memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat. Individu yang ingkar bakal berdepan tindakan undang-undang,” katanya.

Terdahulu, gambar tiga individu yang dikenakan kompaun tular di media sosial bersama satu mesej yang mendakwa jika kereta dinaiki dua individu, penumpang perlu berada tempat duduk belakang kenderaan dan bukan di kerusi penumpang hadapan atau belakang pemandu.

Mesej itu turut menyebut bahawa SOP itu sudah mula dikuatkuasakan.- SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3528