Seorang Lagi Kakitangan BSN Kota Kinabalu Dikesan Positif COVID-19

BSN Kota Kinabalu ditutup untuk orang ramai bermula 19 sehingga 25 Oktober untuk operasi sanitasi dan disinfeksi. -Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang lagi kakitangan Bank Simpanan Nasional (BSN) Kota Kinabalu disahkan dijangkiti COVID-19.

Dalam satu kenyataan media, BSN berkata sehingga kini dua kes telah dilaporkan hasil daripada pengesanan kontak rapat yang dijalankan sejak 14 Oktober lalu di cawangan yang sama.

Susulan itu, katanya langkah pencegahan di cawangan berkenaan dilaksanakan termasuk operasi sanitasi dan disinfeksi selaras dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan.

“Operasi cawangan BSN Kota Kinabalu akan dihentikan semula bermula 19 Oktober sehingga 25 Oktober 2020,” ujar kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, semua kakitangan cawangan bank berkenaan telah diarahkan untuk menjalani ujian saringan COVID-19, selain mengenal pasti individu yang menjadi kontak rapat kakitangan yang positif terbabit..

“Mereka yang berjaya dikesan akan dikehendaki menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari untuk memantau tahap kesihatan diri.

“Pihak BSN kini sedang bekerjasama rapat dengan pihak penguat kuasa untuk tindakan lanjut selain mengimplimentasikan langkah pencegahan dan kebersihan serta-merta di setiap cawangan,” jelas kenyataan tersebut.

Pada 14 Oktober lalu, BSN Kota Kinabalu melaporkan seorang kakitangannya telah dijangkiti COVID-19 dan operasi cawangan itu ditutup sehingga 16 Oktober.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2201