Sabah Perlu Pakej Rangsangan Baru, Kata Pakar Ekonomi

KOTA KINABALU: Dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), Sabah memerlukan pakej rangsangan baru supaya kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat sebagai “kerajaan yang prihatin”, kata pakar ekonomi politik Firdausi Suffian.

Firdausi berkata, banyak perniagaan dan rakyat di Sabah yang akan terjejas dengan sekatan pergerakan terbaru berbanding hanya beberapa tempat di Semenanjung.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu mencontohi kerajaan persekutuan yang melaksanakan beberapa inisiatif, termasuk pakej rangsangan Kita Prihatin terbaru yang dipuji sebagai “prihatin” oleh pakar ekonomi.

Firdausi turut berkata Sabah tidak dapat memberi bantuan seperti pakej Kita Prihatin bernilai RM10 juta, bagaimanapun, ia masih boleh memperuntukkan suntikan tunai tertentu bagi membantu rakyatnya.

Firdausi Suffian.

“GRS baru mengambil alih kerajaan dan ia adalah peluang untuk menunjukkan bahawa ia berbeza (dengan pemerintahan sebelum ini) dan mereka prihatin (terhadap rakyat),” beliau memberitahu FMT.

Firdausi berkata beliau menjangka PKPB, yang dijadualkan tamat pada 26 Okt, akan dilanjutkan memandangkan bilangan kes harian Covid-19 yang tinggi.

“Selain moratorium pinjaman kepada perniagaan dan individu, perlu juga diberikan geran khas dan pinjaman tanpa faedah kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pindahan tunai tambahan kepada golongan B40, pengecualian bil elektrik dan air bergantung pada penggunaan serta bantuan kepada sektor pertanian.

“Ini adalah antara bantuan yang dapat membantu rakyat secara langsung pada masa ini.”

Setakat ini, kerajaan negeri menyalurkan RM70 juta untuk membantu rakyat, termasuk edaran bakul makanan bernilai RM20 juta kepada penghuni terjejas di 10 zon merah di seluruh Sabah.

Pada Mac kerajaan pimpinan Warisan sebelum ini memberi pakej bantuan bernilai RM670 juta untuk memerangi pandemik dan mengurangkan impak Covid-19.

Ia termasuk pengecualian bayaran bil air 3 bulan bermula April dan diskaun 30% ke atas bil elektrik bagi tempoh sama.

Pada Jun, kerajaan mengumumkan pakej bantuan sebanyak RM240 juta bagi membantu memulihkan semula ekonomi negeri.

Tingkat perbelanjaan awam, kata ahli perniagaan

Foo Ngee Kee.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Sabah (PKS) Foo Ngee Kee menggesa kerajaan negeri supaya mempercepatkan pelan jana semula ekonomi dan menambah perbelanjaan awam.

“Dengan cara ini PKS di Sabah akan mendapat peluang lebih besar untuk bertahan berikutan perintah sekatan,” katanya.

Beliau juga berkata “gelombang ke-3 Covid-19” lebih serius daripada gelombang sebelum ini.

“Dalam beberapa bulan ini, perniagaan kami pulih sebahagiannya. Sewaktu kami menjangka ia sudah hampir tamat, Sabah sekali lagi terjejas dengan gelombang ke-3 wabak ini.”

Beliau berkata, beberapa daerah dan lokaliti di pantai timur Sabah tertakluk di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat diperketatkan (PKPBD) dan PKPD dan akan menyebabkan pengguna kurang berbelanja kerana hilang pendapatan.

“Ia pasti akan memberi tamparan kepada PKS. Ini hanya permulaan kerana keadaan akan menjadi bertambah buruk pada minggu-minggu akan datang.”

Justeru, Foo menggesa Bank Negara supaya mengarahkan bank melanjutkan moratorium bayaran semula pinjaman selama 6 bulan kepada PKS di Sabah.

“Dengan adanya lanjutan moratorium, bank tidak akan mengalami kerugian kerana faedah akan terakru, tetapi perniagaan akan mendapat sedikit ruang untuk mencari penyelesaian dan menunggu pemulihan. Ia menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *