Wanita Cedera Disamun Lelaki Tempatan Bersenjata Pisau

Kecederaan mangsa pada lengan dan pisau yang dirampas polis daripada suspek kes samun di Labuan hari ini. Gambar Ihsan PDRM

LABUAN: Polis berjaya menyelesaikan kes samun bersenjatakan pisau dalam tempoh tidak sampai sepuluh jam dengan menahan seorang lelaki yang melakukan jenayah berkenaan di Kampung Sungai Labu, di sini, pagi tadi.

Lelaki tempatan berusia 28 tahun itu ditahan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan pada 2 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, suspek yang juga seorang penganggur sebelum itu disyaki memecah masuk rumah seorang wanita yang bekerja sebagai penjaga hotel di sini pada 4.10 pagi.

Menurutnya, suspek yang menggunakan sebilah pisau pemotong sayur kemudian mengarahkan mangsa supaya tidak menjerit.

“Bagaimanapun, mangsa melawan dan berlaku pergelutan hingga menyebabkannya cedera di muka, lengan dan perut akibat ditendang, ditumbuk oleh suspek.

“Suspek turut bertindak mengacu pisau ke arah mangsa dan meminta untuk menyerahkan barang-barang berharga yang terdapat di dalam beg duit iaitu wang tunai RM80 dan telefon bimbit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhamad Farid berkata, anggaran kerugian yang dialami mangsa bernilai RM1,400.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik mangsa dan sebilah pisau yang digunakan ketika kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *