Empat Jalan Ditutup Di Tuaran

Polis dengan bantuan RELA menjalankan pemeriksaan kenderaan di beberapa laluan di sini.

TUARAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran mengambil inisiatif menutup empat jalan utama selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata penutupan jalan bermula 15 Oktober sehingga tamat PKPB dilaksanakan dan pihaknya akan menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh terhadap semua kenderaan.

“Antara jalan terlibat termasuklah Jalan Kampung Tajau-Tuaran, Jalan Kampung Selupoh -Tuaran, Jalan Kampung Totu atau Kegayungan-Tuaran, Jalan Kampung Bolong -Serusup berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Bolong Tuaran.

“Penutupan jalan ini membabitkan kawasan jalan masuk dan keluar bagi Kampung Serusup, Selupuh, Termenung, Indai, Totu, Simpangan dan Kampung Kegayungan,” katanya.

Tambahnya bagi kawasan yang dinyatakan terbabit, hanya Jalan Sulaman-Serusup dengan melalui Bulatan Kuda akan dibuka bagi laluan masuk ke kawasan berkenaan.

“Polis IPD Tuaran menyarankan semua penduduk agar bersama-sama mematuhi arahan PKPB dengan bersatu hati mengekang penularan COVID-19,” katanya sambil menambah tindakan ini secara tidak langsung meletakkan keselamatan sebagai keutamaan pihaknya.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5286