Dua Individu Bergelang Ditahan Di Pusat Bandar Sandakan

Mohd Azhar Hamin

SANDAKAN: Pihak polis bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menahan dua individu selepas didapati gagal mematuhi arahan kuarantin sendiri di Pusat Bandar Sandakan, semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata dua individu itu ditahan ketika sedang berlegar-legar di kawasan Pasar Umum Sandakan dan berhampiran sebuah pusat membeli belah.

“Dua individu itu kemudiannya diserah kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Gambar dua individu yang ditahan oleh pihak polis dan KKM itu telah tular di media sosial melalui aplikasi whatsapp.

Dalam pada itu, Mohd Azhar memberi amaran kepada mereka yang dikenakan perintah kuarantin supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah dan KKM.

Beliau berkata tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana individu yang gagal mematuhi dan enggan memberi kerjasama.

“Mana-mana individu yang dikenakan perintah kuarantin perlu sama-sama memainkan peranan untuk memutuskan penularan wabak COVID-19,” tegasnya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1068