PKPB: Aktiviti Ekonomi, Industri Di Sabah Dibenar Beroperasi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun. – Foto Arkib NSTP

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri hari ini menjelaskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di seluruh negeri sejak kelmarin tidak menghalang aktiviti ekonomi atau industri.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata semua jenis perniagaan adalah dibenarkan kecuali yang membabitkan kehadiran ramai orang dan sukar melakukan penjarakan fizikal.

Katanya, peniaga juga tidak perlu memohon kebenaran Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (COVID-19) untuk beroperasi.

“Kerajaan negeri menerima banyak pertanyaan daripada orang awam kerana ada kekeliruan mengenai kebenaran beroperasi bagi semua sektor ekonomi, industri dan perniagaan.

“Kekeliruan ini timbul kerana prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan bagi daerah dalam zon merah sebelum ini hanya membenarkan perkhidmatan perlu.

“Saya ingin menjelaskan bahawa SOP yang digunakan di seluruh Sabah ketika ini adalah berdasarkan SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), semalam.

“SOP sebelum ini tidak terpakai kecuali SOP Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 10 lokaliti yang dikenal pasti MKN setakat ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan semasa COVID-19 di Sabah, di sini, malam ini.

Masidi yang juga Menteri Kewangan II, berkata semua arahan atau SOP yang diumumkan sebelum ini di 11 daerah yang lebih awal melaksanakan PKPB adalah terbatal.

Katanya, hanya aktiviti pasar malam, pasar tani dan tamu, premis hiburan seperti kelab malam, pub, panggung wayang dan pusat perjudian serta rumah urut, pusat refleksologi dan rawatan muka dilarang sepanjang PKPB.

Sementara itu, Masidi berkata sehingga hari ini, 26,178 bakul makanan sudah diagihkan kepada golongan yang terjejas akibat pelaksanaan PKPB di seluruh negeri.

Dalam hal berkaitan, beliau berkata orang ramai yang ada pertanyaan atau ingin mendapatkan maklumat terkini mengenai COVID-19 boleh menghubungi Bilik Operasi Pengurusan Bencana Negeri (COVID-19) melalui portal command.sabah.gov.my.

“Orang ramai juga boleh membuka laman Facebook fb.com/sabahcovid atau Twitter sabahcovid atau menghubungi terus Bilik Operasi di talian 088-369430 dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

“Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Sabah melalui talian 088-369434,” katanya.

Sabah hari ini merekodkan 304 kes positif baharu COVID-19 dengan tiga kematian, menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri ini meningkat kepada 5,797 kes. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *