Hospital Sementara Dibina Di Tawau

Persiapan dan kerja-kerja untuk mewujudkan Hospital Medan sedang giat dilakukan di Dewan Komplek Sukan Tawau.

TAWAU: Persiapan mewujudkan Hospital Medan bagi menempatkan pesakit bukan Covid-19 giat dijalankan di Dewan Kompleks Sukan Tawau, di sini, hari ini.

Hospital Medan yang terletak kira-kira sepuluh minit perjalanan dari Hospital Tawau itu dibina dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi akaun Facebooknya berkongsi beberapa keping gambar persediaan dan kerja yang dilakukan di dewan terbabit.

“Pesakit bukan Covid-19 dari Hospital Tawau akan dirawat di Hospital Medan ini, khususnya untuk perkhidmatan obstetrics & gynaecologypaediatricsorthopaedic dan pembedahan am.

“Ini akan memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau merawat kes yang memerlukan penjagaan rapi (pesakit Covid-19 kategori 3 hingga 5) termasuk yang dirujuk dari daerah berdekatan, khususnya Semporna,” katanya menerusi hantarannya, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, bagi kes Covid-19 yang tidak mempunyai gejala atau gejala ringan (kategori 1 dan 2) akan terus ditempatkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Kementerian menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutamanya ATM yang membantu menjayakan Hospital Medan ini,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, ATM dalam kenyataannya memaklumkan, Perkhidmatan Kesihatan melalui Kor Kesihatan Diraja menghantar 72 petugas dan kelengkapan Hospital Medan ke Tawau, Sabtu ini.

Ia membabitkan 12 pegawai dan 60 anggota sokongan perubatan yang akan dibawa melalui penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi tempoh sekurang-kurangnya selama tiga bulan.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *