Lelaki Dikhuatiri Hilang Ketika Mencari Siput

Lelaki mangsa dilaporkan hilang ketika keluar mencari siput di perairan Pulau Keramat, Rampaian Laut, Kota Belud. Gambar Ihsan APMM

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dikhuatiri hilang dipukul ombak ketika keluar mencari siput di perairan Pulau Keramat, Rampaian Laut, Kota Belud, semalam.

Mangsa Mohd Hafizan Abdul Muara, 21, dari Kampung Rampaian, Kota Belud, sebelum itu bersama tiga rakannya untuk mencari siput dengan berjalan kaki berhampiran Pulau Keramat.

Bagaimanapun, mangsa disedari hilang oleh rakannya kira-kira 3 petang dan usaha mencari turut dilakukan penduduk kampung sejurus dimaklumkan mengenai kejadian itu, namun mangsa gagal ditemui.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan Laksamana Pertama (M) Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya yang menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 6 petang mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) 7.30 malam tadi.

Katanya, Bot Pengawal 38 digerakkan ke lokasi dengan dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Sektor pencarian dipecahkan kepada tiga sektor dengan keluasan 29 batu nautika persegi dan operasi SAR ditangguh sebelum disambung pada 7 pagi tadi.

“Namun setakat ini, mangsa gagal ditemui dan usaha operasi SAR masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Mohd Rosli mengingatkan komuniti maritim untuk sentiasa peka dengan keadaan cuaca terutama di musim hujan dan angin kencang yang berlaku sekarang.

“Keselamatan diri amat penting dalam melakukan aktiviti di laut dan pakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut bagi memudahkan SAR sekiranya berlaku sebarang bencana.

“APMM mohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk melaporkan kecemasan yang berlaku di sekitar perairan Kota Kinabalu di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah 088-387774 dan talian MERS 999,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

516