Bung Moktar Minta Rakyat Sabah Amal Kawalan Kendiri

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin

KOTA BELUD: Kerajaan Sabah memerlukan kerjasama rapat orang ramai untuk menangani dan menghentikan penularan pandemik Covid-19 berikutan peningkatan kes yang membimbangkan di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, usaha Kerajaan Pusat melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) saja tidak memadai untuk menghalang penularan virus berkenaan.

Katanya, selain mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan, orang ramai juga perlu mengamalkan kawalan kendiri agar virus berbahaya itu tidak menjangkiti diri dan ahli keluarga masing-masing.

“Kesungguhan kerajaan untuk menangani penularan Pandemik Covid-19 di negeri ini sukar dicapai tanpa adanya kerjasama daripada orang ramai .

“Perang melawan Covid-19, musuh yang tidak kelihatan ini masih panjang dan memerlukan kerjasama serta sokongan semua pihak,” katanya selepas menyertai lawatan pemantauan di pos kawalan keselamatan antara daerah Kota Belud dan Kota Marudu, di sini, semalam.

Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata tumpuan kerajaan ketika ini ialah untuk membendung penularan Pandemik Covid-19 dan membantu menangani keperitan hidup rakyat yang terkesan akibat pandemik itu.

Katanya, kerajaan juga amat menghargai komitmen pasukan barisan hadapan khususnya doktor, jururawat dan pasukan keselamatan seperti polis, tentera, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan semua yang terbabit secara langsung dalam menangani Covid-19.

“Masyarakat perlu memberikan kerjasama dan mengambil tanggungjawab sosial dan memainkan peranan masing-masing untuk mengamalkan norma kehidupan yang baharu dalam semua peringkat dan lapisan masyarakat.

“Teruskan amalan kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan dengan air dan sabun serta amalkan jarak fizikal yang selamat, iaitu sekurang-kurangnya satu meter, memakai pelitup muka dan membudayakan norma baharu dalam setiap aktiviti harian,” katanya.

Setakat semalam, Sabah merekodkan 429 kes positif baharu Covid-19 dengan empat kematian, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri ini sebanyak 5,493 kes.

Daripada jumlah itu, seramai 3,242 pesakit sedang menerima rawatan, manakala seramai 2,208 pesakit dilaporkan sembuh.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *