Pekerja Bank Muamalat Di Kota Kinabalu Positif COVID-19

KUALA LUMPUR, 13 Okt: Bank Muamalat Malaysia Bhd hari ini mengesahkan seorang pekerjanya di cawangan Kota Kinabalu, Sabah, telah disahkan positif COVID-19 dan kini dirawat di sebuah hospital kerajaan.

Menurut kenyataan bank itu, sebagai langkah berjaga-jaga, semua rakan sekerja yang mempunyai kontak langsung dengan beliau, telah diarah menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing selama 14 hari dan sehingga mendapat pelepasan kesihatan sewajarnya.

“Usaha penjejakan kontak sedang dijalankan mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan. Cawangan terbabit yang terletak di Aeropod Commercial Square, Jalan Kepayan di Kota Kinabalu, juga telah ditutup bagi membolehkan proses sanitasi dan nyahkuman dijalankan,” katanya.

Selain itu, Bank Muamalat berkata sejajar dengan keputusan kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama dua minggu mulai esok, waktu operasi semua cawangannya di kawasan tersebut ditetapkan pada 9.15 pagi sehingga 3 petang, berkuat kuasa hari ini.

“Bagi mengurangkan risiko susulan peningkatan kes COVID-19, cawangan-cawangan di Souq Al-Bukhary, Alor Setar (Kedah) serta di Sandakan (Sabah) akan turut beroperasi pada 9.15 pagi hingga 3 petang,” katanya.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4690