Pasar Raya Tong Hing Ditutup, Pekerja Dijangkiti Covid-19

KOTA KINABALU: Pasar raya Tong Hing di Jalan Gaya di sini ditutup bagi membolehkan kerja-kerja nyahkuman dan pembersihan dilakukan berikutan terdapat seorang pekerja disahkan positif Covid-19.

Pihak pengurusan pasar raya itu berkata, selepas mendapati perkara tersebut, mereka memutuskan untuk menghentikan operasi meskipun tidak ada arahan daripada Kementerian Kesihatan, namun

pihaknya bertanggungjawab untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Pekerja tersebut mempunyai kontak rapat dengan ahli keluarga yang disahkan positif Covid-19 dan beliau menjalani ujian sebagai langkah pencegahan.

“Malangnya, beliau disahkan positif dan dikuarantin sejak itu. Pada saat yang sukar ini, pihak kami akan memberi sokongan dan bimbingan kepada semua pekerja,”katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, pengurusan pasar raya itu berkata, semua proses nyahkuman dan pembersihan yang dilakukan adalah berlandaskan garis panduan Kementerian Kesihatan.

“Sementara menunggu maklum balas daripada pihak kementerian, pihak kami telah mengambil inisiatif sendiri untuk menghantar semua pekerja kami supaya menjalankan ujian saringan,”katanya.

Selain itu, pihak pengurusan turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa mereka hanya akan membuka semula kedai mereka apabila mereka telah melakukan setiap prosedur untuk menjaga kebersihan dan keselamatan kedai untuk pelanggan.

Katanya, semua berita dan situasi mengenai pasar raya itu akan dimaklumkan melalui platform media sosial mereka.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *