Covid-19: Kota Kinabalu & Sandakan Catat Kes Tertinggi

KOTA KINABALU: Sebanyak 429 kes positif baharu dilaporkan di Sabah, dengan Sandakan dan Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, sebanyak 20 daerah mencatatkan kes positif baharu dengan kes tertinggi di Sandakan dengan 97 kes, menjadikan keseluruhan kes di daerah ini sebanyak 526 kes. Sementara Kota Kinabalu mencatatkan 89 kes baharu dan bilangan kumulatif kes adalah sebanyak 720 kes.

Daerah lain yang turut mencatatkan tambahan kes adalah Semporna (56), Tuaran (31), Penampang (29), Papar (26), Tawau (24); Putatan (13), Kunak (14), Lahad Datu (11), Kudat (8), Tambunan (6),Tenom (6), Keningau (5), Beaufort (4), Ranau (3) dan masing-masing dua kes di Kota Belud, Kota Marudu dan Kinabatangan. Manakala, satu kes di Sipitang.

Kes di Sabah terus meningkat susulan lebih banyak saringan dilakukan di lapangan dan lebih banyak keputusan ujian sampel yang diperoleh hari ini.

Sementara, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah pada hari ini adalah sebanyak 429 kes.

Kes kematian baharu adalah empat orang dan itu menjadikan kes kematian di Sabah setakat ini sebanyak 43 kes.

Jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri ini sebanyak 5,493 kes. Sehingga hari ini, seramai 3,242 pesakit sedang menerima rawatan dan seramai 2,208 pesakit dilaporkan telah sembuh. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1824