UPKO Kekal Pendirian Tolak Fahaman Politik PAS Di Sabah

Madius Tangau

KOTA KINABALU: UPKO kekal dengan pendirian bahawa rakyat Sabah harus menolak budaya politik PAS dan pastikan agar budaya sedemikian tidak bertapak di Sabah.

Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pelbagai kenyataan oleh pemimpin PAS telah mengundang kekecewaan dalam kalangan rakyat Sabah yang berbilang kaum.

Katanya, antara kenyataan itu seperti ‘kitab Injil dipesongkan oleh orang Kristian’ dan tindakan ahli-ahli PAS membuat laporan polis untuk menghalang sambutan Krismas di Tawau merupakan contoh-contoh bahawa budaya politik PAS ini adalah sebagai sebuah parti yang ekstrem.

“Keangkuhan pemimpin PAS yang tidak mahu memohon maaf kepada masyarakat Kristian menunjukkan bagaimana cara pemikiran para pemimpin PAS dan budaya politik mereka.

“Kenyataan dan tindakan itu jelas menggugat perpaduan dan keharmonian kaum yang sedia terjalin di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, kenyataan dan pendirian yang tidak konsisten daripada pemimpin PBS dan STAR telah mendatangkan kemarahan serta kekecewaan kepada ramai rakyat Sabah yang mahu mempertahankan budaya serta cara hidup penuh hormat-menghormati dan harmoni diantara pelbagai kaum dan agama di Sabah.

Katanya, dengan bersekongkol dengan PAS dan UMNO dalam Kerajaan Persekutuan serta kerajaan Sabah, para pengundi yang telah menyokong PBS dan STAR dalam PRN baru-baru ini merasakan mereka tertipu oleh pemimpin- pemimpin PBS dan STAR apabila undi mereka juga adalah penyebab kepada pelantikan ADUN PAS sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah.

Katanya, keputusan itu juga terlibat secara langsung dalam menggubal undang-undang negeri Sabah dan dasar-dasar kerajaan negeri.

“UPKO telah menegaskan dan berkali-kali merayu sepanjang kempen PRN bahawa demi mempertahankan cara hidup orang Sabah para pengundi harus mengundi untuk menghalang PAS daripada bertapak di Sabah. Malangnya rayuan UPKO itu tidak diambil serius.

“Terbukti kemenangan PN/BN membawa kepada pelantikan Setiausaha PAS Sabah sebagai ADUN Dilantik,” katanya.

Menurutnya, kegagalan PBS dan STAR menghalang pelantikan itu juga membuktikan bahawa kedua-dua parti ini tidak dapat mempertahankan cara hidup masyarakat majmuk Sabah.

Katanya, jika pelantikan ini pun mereka tidak dapat halang apakah lagi untuk mereka memperjuangkan hak-hak kita yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 jika mereka hanya bagaikan kerbau dicucuk hidung oleh kepimpinan Malaya.

“Oleh sebab itu kita sebagai rakyat Sabah mesti bersatu padu mempertahankan cara hidup kita yang penuh toleransi, berharmoni dan hormat-menghormati diantara pelbagai kaum serta agama. Rakyat harus bersuara dan bangkit bersama untuk memastikan kita mempertahankan semua ini.

“Rakyat Sabah perlu diperingatkan juga bahawa, perjuangan dan niat pemimpin silam kita apabila mereka telah bersetuju membentuk Malaysia melalui Perjanjian Malaysia bahawa mereka mahukan budaya serta cara hidup masyarakat majmuk Sabah dipertahankan selain di hormati,” katanya.

Madius berkata, disebabkan itulah cara dan budaya politik yang diperjuangkan oleh PAS adalah tidak sesuai kerana Perlembagaan Persekutuan Malaysia juga memperjuangkan sebuah negara yang sekular kerana masyarakatnya yang berbilang kaum dan agama.

“Rakyat Sabah perlu mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara sekular seperti yang diilhamkan oleh para pemimpin silam kita yang telah membentuk Malaysia,” katanya.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1575