Dua Warga Asing ‘Kantoi’ Bawa Masuk Syabu Di Tawau

Dadah jenis syabu seberat 2103.04 gram yang dirampas susulan tangkapan dua lelaki warga asing dekat jeti Kampung Inderasabah, dekat sini, Jumaat. Foto Ihsan PDRM

TAWAU: Polis menahan dua lelaki warga asing dan merampas dadah jenis syabu bernilai RM110,000 dekat kawasan jeti Kampung Inderasabah, Jumaat lalu.

Tangkapan pada jam 10.20 malam itu dibuat sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata suspek masing-masing berumur 21 dan 26 tahun diberkas hasil maklumat serta risikan polis yang menerima maklumat aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

“Sebelum ditahan, kedua-dua suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika berada dalam perahu kayu dengan salah salah seorang bertindak mencampakkan sebuah beg ke laut.

“Pemeriksaan lanjut ke atas beg berkenaan menemui dua bungkusan plastik teh bertulis GUANYINWANG yang masing-masing dibalut dengan pembalut plastik lutsinar,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Peter berkata, siasatan lanjut ke atas setiap bungkusan terbabit mengandungi satu bungkusan plastik lutsinar berisi bahan ketulan hablur jernih seberat 2103.04 gram disyaki dadah jenis syabu.

Katanya, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Kedua-duanya ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 10 Oktober untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta yang sama,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *