Hajiji Stabil, Bersemangat Tinggi

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor tetap menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri walaupun masih menjalani rawatan selepas dilaporkan positif Covid-19 pada 9 Oktober lalu.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Wetrom Bahanda berkata, Hajiji menggunakan sidang video dan panggilan telefon untuk melaksanakan tugas bersama ahli Kabinet beliau.

“Hajiji sedang berada dalam keadaan stabil dan bersemangat tinggi, walaupun sedang menjalani rawatan Covid-19 seperti yang dinyatakan dalam kenyataan media pada 9 Oktober lalu.

“Beliau masih menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri menerusi panggilan telefon dan sidang video dan beliau amat mengambil berat mengenai keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Wetrom berkata, beliau mendoakan agar Hajiji pulih daripada jangkitan secepat mungkin dan dapat segera kembali berkhidmat untuk rakyat Sabah.

“Saya menjemput seluruh rakyat untuk mendoakan yang sama bagi Ketua Menteri dan juga semoga Allah SWT menyembuhkan dan menyelamatkan rakyat dan negeri Sabah tercinta daripada jangkitan virus Covid-19,” katanya.

Khamis lalu, Hajiji tidak hadir pada majlis angkat sumpah lima menteri dan 18 pembantu menteri serta empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dilantik di Istana Negeri kerana dilaporkan menjalani kuarantin di rumah.

Keesokannya, Adun Sulaman itu juga tidak hadir pada upacara angkat sumpah Adun pada persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada lewat malam hari yang sama satu kenyataan media kemudiannya diedarkan mengatakan beliau dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE) kerana didapati positif Covid-19.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2817