Lebih 5,000 Penduduk Di 2 Kawasan Di Lahad Datu Bawah PKPD

Kerajaan hari ini mengumumkan PKPD di 2 kawasan di Lahad Datu, dan PKPB di Daerah Kota Belud.

PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di 2 kawasan perumahan di Lahad Datu, Sabah susulan peningkatan kes Covid-19.

Melibatkan 5,452 penduduk di Taman Khazanah Indah dan PPR Mutiara Kasih, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata kawalan ketat akan berkuatkuasa 12.01 tengah malam 13 Okt sehingga 26 Okt.

“Semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada rumah masing-masing,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam tempoh tersebut, Kementerian Kesihatan akan melakukan saringan bersasar.

“Bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri.”

Semua laluan keluar masuk ke kawasan terbabit ditutup.

“Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada polis.”

PKPB Kota Belut

Sementara itu, kerajaan mengumumkan kawalan bersyarat di Daerah Kota Belud, susulan peningkatan kes.

Berkuatkuasa 12.01 tengah malam pada 13 Okt sehingga 26 Okt, perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ini bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19, serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar.

“Hanya 2 orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan untuk keluar bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan keperluan,” katanya.

Katanya, sektor ekonomi berkaitan perkhidmatan perlu (essential service) termasuk kilang-kilang dan rantaian yang berkaitan dalam perkhidmatan perlu adalah dibenarkan.

“Pasar borong, pasar tani, kedai barang keperluan, kedai runcit adalah dibenarkan beroperasi.

“Kedai-kedai makan, warung juga boleh dibuka tetapi terhad untuk pembelian secara pandu lalu, penghantaran serta ‘take away’.

“Farmasi dan klinik juga dibenarkan beroperasi,” katanya.

Semua sekolah, tadika, institusi pengajian tinggi, masjid dan rumah ibadat lain ditutup sepanjang tempoh ini termasuk aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya tidak dibenarkan.

Dalam perkembangan sama, Ismail turut memaklumkan polis menahan 674 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam.

“Daripada jumlah itu, seramai 583 individu dikompaun. Seramai 91 individu pula direman,” katanya.

Ops Benteng juga berjaya menahan 80 pendatang tanpa izin, serta merampas sebuah bot dan sebuah kenderaan darat semalam. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1101