Tiada Bekalan, Hanya Minum Air Gula Atau Air Putih

Sebahagian daripada 32 sekeluarga, penduduk Kampung Batu Puteh, Kinabatangan, terpaksa menjalani kuarantin rumah selepas salah seorang ahli keluarganya didapati positif Covid-19. GAMBAR IHSAN ASLINDA AMIT.

KINABATANGAN: Hanya meminum air gula atau air putih. Itu minuman diberikan kepada lebih 10 orang kanak-kanak termasuk bayi selepas mereka kehabisan bekalan susu, lampin pakai buang dan makanan kerana dikuarantin.

Menurut Aslinda Amit, 26, sehingga hari ini, mereka belum menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak berkaitan.

“Sejak beberapa hari lalu, bekalan susu dan pampers (lampin pakai buang) budak-budak sudah habis. Kami terpaksa berikan air gula sahaja atau air putih kepada anak-anak.

“Suami saya, abang, dan semua ahli keluarga pula masih tidak dapat keluar bekerja kerana masih dikuarantin.

“Kami sangat berharap ada pihak boleh menyalurkan bantuan dengan kadar segera,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, sepanjang dikuarantin sejak 28 September lalu mereka sekeluarga hanya makan mi segera atau telur.

“Kadang-kala kami mengambil pucuk ubi di belakang rumah. Itulah makanan kami selama dikuarantin.

“Tapi yang merisaukan, bayi kami dan budak kecil lain. Termasuk anak abang dan kakak. Bekalan susu budak semuanya sudah habis,” katanya.

Menurutnya, mana-mana pihak ingin membantu keluarga mereka boleh menghubunginya di talian 014-6641195.

Pada Selasa lalu, Harian Metro melaporkan seramai 32 sekeluarga yang sedang menjalani kuarantin rumah memerlukan bantuan makanan dan kewangan dengan segera apabila kehabisan stok makanan sejak beberapa hari lalu.

Sekeluarga berkenaan yang berusia dua bulan hingga 66 tahun merupakan penduduk Kampung Batu Puteh, dekat sini.

Mereka terpaksa menjalani kuarantin itu selepas seorang daripada ahli keluarganya positif Covid-19. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

9353