Hospital Queen Elizabeth II Terkawal, Tak Lumpuh – Dr Adham

Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu

KUALA LUMPUR: Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu masih berada dalam keadaan terkawal walaupun dua kakitangan perubatannya disahkan positif COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai kaedah kawalan dengan menggerakkan tenaga atau kakitangan dari kawasan lain yang tidak terjejas ke hospital terbabit.

Justeru katanya, operasi di hospital terbabit masih terkawal dan meminta supaya orang ramai kekal tenang.

Mengulas lanjut katanya, hingga kini, dua jururawat yang disahkan positif COVID-19 di hospital terbabit dengan 40 jururawat lain pula sedang dikuarantin.

“Keadaan terkawal dan tidak lumpuh seperti yang dikatakan kerana ada kakitangan lain yang digerakkan ke situ selepas proses nyah kuman dan sanitasi diselesaikan.

“Setakat ini, seorang jururawat di unit rawatan rapi (ICU) positif saringan penyakit seperti influenza (ILI) di mana beliau mempunyai kontak dengan sepupu yang positif.

“Hasil pengesanan kontak ada seorang lagi jururawat di ICU positif dan sedang dikuarantin, ” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Pada masa sama, Dr Adham berkata, kebanyakan 40 jururawat yang dikuarantin itu mempunyai gejala dan sebahagian mereka juga mempunyai kontak rapat dengan dua kes indeks berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya meminta supaya penduduk di Kota Kinabalu untuk kekal bertenang dan bersama-sama menentang penularan wabak ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *