PKPD & PKPDB Di Sabah Dilanjutkan

Pihak polis membuat pemeriksaan rapi terhadap pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya di simpang Beluran.

KUALA LUMPUR: Kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersyarat (PKPDB) di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu sehingga 25 dan 26 Oktober ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lanjutan itu susulan dalam tempoh pelaksanaan PKPD dan PKPDB di kawasan berkenaan masih terdapat kes baharu positif Covid-19 direkodkan.

“Mengambil kira penilaian risiko terhadap penularan wabak ini, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk melanjutkan lagi PKPD di kawasan ini bermula 10 sehingga 25 Oktober.

“Perlanjutan tempoh ini diperlukan bagi tujuan membolehkan saringan seterusnya dilakukan oleh KKM,” katanya pada sidang media yang disiarkan melalui Facebook Kementerian Pertahanan, hari ini.

Menurutnya, PKPDB di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu juga dilanjutkan sehingga 26 Oktober bagi membolehkan KKM melakukan ujian saringan bersasar.

“Selain itu, bagi memperketatkan kawalan di Pantai Timur Sabah, kerajaan sudah menambah jumlah anggota dan aset keselamatan untuk mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) dari negara jiran.

“Beberapa tindakan baru akan diperkenalkan di kawasan pesisir pantai ESSZONE bermula 11 Oktober ini iaitu pergerakan keluar bot kecil dari pulau di perairan ESSZONE ke tanah besar termasuk pergerakan bot di kawasan pesisiran pantai bagi tujuan membeli makanan dan keperluan asas hanya dibenarkan mulai jam 6 pagi hingga 2 petang sahaja,” katanya.

Katanya, bagi bot nelayan dan bot membawa ikan di perairan ESSZONE yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan hanya dibenarkan bermula 6 pagi hingga 6 petang (di jeti yang dibenarkan sahaja).

“Kebenaran ini tertakluk kepada permit yang dikeluarkan Ketua Polis Daerah berkenaan manakala bagi semua kapal Non Conventional Ships (NCS) dari Indonesia dan Filipina yang memasuki perairan ESSZONE, Sabah, Malaysia bagi tujuan aktiviti Barter Trade dan Transhipment adalah tidak dibenarkan,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2200