PKPD Di Semporna, Kunak, Penduduk Dilarang Keluar Rumah

Kedua-dua daerah dikenakan PKPD itu terdiri 35,643 penduduk membabitkan 7 lokaliti.

PETALING JAYA: Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di Semporna dan Kunak selepas kawasan berkenaan dikategorikan sebagai zon merah kerana peningkatan kes Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, kedua-dua daerah dikenakan PKPD itu terdiri 35,643 penduduk membabitkan 7 lokaliti.

Kedua-dua daerah dikenakan PKPD itu terdiri 35,643 penduduk membabitkan 7 lokaliti.

“Sidang khas hari ini turut mendengar cadangan MKN Sabah dalam mesyuarat teknikal mengenai situasi beberapa lokaliti baru yang diklasifikasikan sebagai zon merah di daerah Semporna dan Kunak.

“Di Semporna 6 lokaliti iaitu Kampung Bangau-Bangau, Kampung Panji, Kampung Air, Kampung Selamat, Kampung Simunul dan Kampung Pinggir Bakau. Manakala di Kunak melibatkan 1 lokaliti iaitu Kampung Pangkalan,” katanya pada sidang media hari ini.

Katanya, semua laluan ke kawasan berkenaan akan ditutup dan aktiviti ekonomi tidak dibenarkan.

“Semua sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi, semua penduduk dikehendaki mematuhi SOP ditetapkan dan tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing.

“Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan kepada polis. Semua sekolah, masjid dan rumah ibadat ditutup sepanjang tempoh ini. Aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya tidak dibenarkan,” katanya.

Sementara itu, Ismail mengumumkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB) di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu yang sepatutnya berakhir 12 Oktober dilanjutkan hingga 26 Oktober menerusi PKPD bersyarat.

“Sidang khas hari ini bersetuju melanjutkan lagi PKPD bersyarat di daerah ini bermula 12.01 tengah malam 13 Oktober hingga 26 Oktober.

SUB HEAD: PKPD penjara Tawau

Ismail turut memaklumkan PKPD di penjara Tawau dan kuarters penjara Taman Ehsan Tawau dilanjutkan 16 hari lagi bermula esok hingga 25 Oktober.

“Kerajaan sebelum ini melanjutkan PKPD di penjara Tawau dan kuarters penjara Taman Ehsan bermula 26 September hingga 9 Oktober. Bagaimanapun dalam tempoh itu masih terdapat kes baharu direkodkan.

“Mengambilkira penilaian risiko terhadap penularan wabak ini, PKPD di kawasan ini dilanjutkan bagi tujuan saringan seterusnya dilakukan KKM,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *