PBS Main Peranan Jadi ‘Check And Balance’

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan memainkan peranan semak dan imbang bagi memastikan pelantikan pemimpin PAS Sabah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Kabinet Sabah tidak mencetuskan kebimbangan rakyat secara berterusan.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, berkata PBS mendengar dengan jelas keluhan rakyat dan ahli politik di Sabah.

“Kami memahami dan turut merasakan kebimbangan atas pengenalan ‘precedent’ baharu, di mana ahli parti yang mengamalkan ideologi politik berasaskan agama dilantik tanpa mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.

“Seperti yang saya maklumkan kepada orang ramai dalam kenyataan saya sebelum ini, PBS menyuarakan pendapat mengenai perkara ini kepada pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN) dan kami sudah mendapat penjelasan mereka.

“Bagaimanapun, kami mempertahankan pendirian asal kami bahawa tidak perlu membuat ‘precedent’ untuk pelantikan itu diberikan kerana kebimbangan mengenai isu agama,” katanya.

Dalam kenyataan media terbabit, beliau turut berkata pihaknya akan menjadi pemantau berikutan pelantikan sudah dibuat.

“Kami juga berharap dapat bekerjasama dengan wakil PAS yang mempunyai latar belakang akademik yang baik dan berasal dari Tenom itu.

“Saya yakin Dr Aliakbar Gulasan, yang memegang jawatan sebagai ADUN dilantik, akan berusaha untuk menyangkal segala perkara dan persepsi orang ramai yang berbeza mengenai PAS di Sabah,” katanya.

Beliau juga menyeru menyeru supaya rakyat Sabah bersatu, bekerjasama dan memberikan sokongan penuh kerajaan negeri baharu bagi memenuhi hasrat untuk melihat Sabah berkembang lebih maju di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2810