Lantik ADUN Hak Prerogatif Ketua Menteri

Presiden STAR, Datuk Dr Jeffry Kitingan.

KOTA KINABALU: Perlantikan Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah hak prerogatif Ketua Menteri.

Presiden, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffry Kitingan, berkata walaupun perlantikan itu membuka ruang kepada kritikan dan tentangan pembangkang, ia tidak boleh ditafsirkan sebagai serangan peribadi terhadap Aliakhbar.

“Walaupun sebelum ini ada pemimpin PAS membuat komen sensitif yang menyinggung perasaan rakyat Sabah dan Sarawak yang beragama Kristian, namun Aliakhbar selaku rakyat Sabah lebih memahami situasi di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Tambahnya, Aliakbar adalah ADUN tanpa tugas menteri dan belum dilantik ke Kementerian Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri seperti yang didakwa DAP dan WARISAN.

Dalam kenyataan media terbabit, beliau turut menggesa kepada semua ahli parti dan rakyat untuk terus bertenang dan tidak tunduk pada tentangan daripada pihak pembangkang.

“Bermain politik sepanjang masa tidak akan membawa kita ke mana-mana. Mari kita menjadi warganegara yang bertanggungjawab melihat sesuatu dari semua sudut, bukan hanya dari sudut kita sendiri sahaja.

“Kita ada banyak kerja yang harus dilakukan dan politik harus diketepikan dahulu. Jika tidak, kita juga akan berakhir menjadi seperti kerajaan negeri sebelum ini, tiada tindakan hanya cakap sahaja,” katanya.

Beliau turut menegaskan pihaknya tetap dengan pendirian mana-mana parti atau pihak yang matlamatnya tidak sesuai dengan nilai dan budaya Sabah harus ditolak. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4516