Tiada ‘Lockdown’ Di Semporna

Barisan barisan hadapan KKM menjalankan operasi saringan Covid-19 di Semporna, Sabah.

SEMPORNA: Tiada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau lockdown di Kampung Bangau-Bangau, Semporna seperti yang ditularkan di media sosial.

Pegawai Daerah Semporna Asmat Benedict berkata, selain kampung terbabit, daerah itu hanya diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran.

“Setakat ini, tiada sebarang sekatan pergerakan dan orang ramai masih dibenarkan untuk keluar membeli barang keperluan, malah beberapa premis perniagaan berkaitan masih beroperasi seperti biasa.

“Jadi tidak timbul sebarang isu yang mengatakan penduduk di sini kekurangan makanan mahupun timbul masalah lain,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, orang ramai seharusnya memahami tujuan pelaksanaan PKDB yang dikuatkuasakan ketika ini adalah untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Katanya, sebelum sesuatu kawasan diisytiharkan lockdown sepenuhnya, pelbagai prosedur ketat termasuk penilaian risiko perlu dijalankan sebelum mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kerajaan Pusat.

“Kita bukan mahu menyusahkan mereka cuma keadaan ketika ini bukan lagi seperti dahulu dan jika ada keperluan untuk keluar patuhilah arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Hari ini tular di laman Facebook yang mendakwa hampir keseluruhan penduduk di Kampung Bangau-Bangau dikesan positif wabak Covid-19 berikutan peningkatan jumlah kes kluster Bangau-Bangau sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar tindakan individu atau pihak tidak bertanggungjawab yang disifatkannya sebagai menangguk di air keruh dengan menyebarkan maklumat tidak tepat dan berita palsu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu bagi mengelak salah faham selain menimbulkan situasi panik dalam kalangan masyarakat.

“Sebarang masalah boleh berhubung dengan pejabat daerah selaku Jawatankuasa pengurusan bencana, dan kita bersedia membantu,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *