Covid-19: Sabah Catat Lima Kematian, 271 Kes Baharu

PUTRAJAYA: Lima kes kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia hari ini semuanya direkodkan di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah dalam sidang media berkata, kematian yang dilaporkan hari ini, masing-masing dua kes di Tawau dan satu kes di Lahad Datu, Sandakan dan Semporna.

Kesemua pesakit berumur antara 55 hingga 82 tahun dan kebanyakan mereka mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.

Kematian yang dilaporkan hari ini membabitkan empat lelaki dan seorang wanita.

Pertambahan kes terbaru ini menjadikan kes kematian yang dilaporkan di negara ini meningkat kepada 146 kes.

Untuk kes positif baharu, daripada 375 kes baharu yang dilaporkan, 271 dilaporkan di Sabah dengan dua kluster baharu, iaitu kluster Tujuh Serangkai dan kluster Tanamera.

Wilayah Persekutuan Labuan turut melaporkan 10 kes baharu. Kes ini melibatkan salah seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara dan pengesanan kes itu membawa kepada penutupan sekolah tersebut bagi proses sanitasi.

Daripada 375 kes baharu, 371 kes adalah jangkitan tempatan manakala, empat adalah kes import.

Pertambahan kes baharu menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 14,368 kes. Sebanyak 3,703 kes aktif dengan 60 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 20 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Bilangan kes pulih yang dicatatkan sehingga kini adalah sebanyak 10,519 kes.

Tambahnya, sehingga kini lapan daerah di Sabah berada dalam zon merah. Dimana, empat daerah dilaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) bermula 29 September hingga 12 Oktober, iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

Manakala, enam daerah dilaksana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Papar, Tuaran dan Sandakan.

Larangan rentas negeri turut dikuatkuasakan di Sabah bermula 12 sehingga 25 Oktober ini. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1464