146 Kakitangan IPD Kota Kinabalu Di Arah Kuarantin

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika melakukan tinjauan di lokasi SJK di Anjung Melawar, Sepanggar. – Foto Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Seramai 146 polis termasuk pegawai dan kakitangan awam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dikuarantin selepas dikesan mempunyai kontak rapat dengan individu positif COVID-19.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, semua mereka diarah kuarantin di rumah sejak minggu lalu.

“Semua mereka yang dikuarantin itu termasuk tujuh pegawai dan 136 anggota polis termasuk kakitangan awam.

“Mereka diarah menjalani kuarantin di rumah masing-masing sejak minggu lalu berikutan ada dalam kalangan ahli keluarga anggota yang disahkan positif COVID-19,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan penugasan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Anjung Malawa, Sepanggar, di sini, hari ini.

Habibi berkata, semua anggota yang diarahkan untuk menjalani kuarantin bagaimanapun dalam keadaan baik.

“Semua mereka dalam keadaan baik dan akan kembali untuk bekerja sebaik tamat tempoh kuarantin,” katanya.

Sementara itu, Habibi turut meminta orang ramai khususnya di daerah ini untuk tidak panik dengan senarai lokaliti COVID-19 yang tular sejak semalam berikutan tiada rekod yang serius di kawasan berkenaan.

“Semua kawasan yang disenaraikan itu dipilih supaya pihak polis memperketatkan lagi penugasan berikutan terdapat beberapa individu yang dikesan positif COVID-19 di lokasi berkenaan.

“Tiga kawasan utama termasuk Bandar Sierra, Kampung Kembirian serta Skim Penempatan Telipok dikesan sebagai tempat tumpuan orang ramai dan kita akan menjalankan penugasan serta kawalan pergerakan yang lebih ketat di sana.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa patuhi SOP untuk sama-sama memerangi wabak COVID-19 daripada terus merebak,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *