Sabah Rancang Tubuh Pasukan Petugas Khas Tangani Bencana

KOTA BELUD: Pasukan Petugas Khas yang bertanggungjawab terhadap pengurusan krisis dan bencana di negeri ini akan dicadangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pasukan tersebut berperanan untuk memantau dan mengenal pasti kawasan-kawasan yang sering diancam bencana serta menyediakan pelan tindakan kecemasan.

Bung Moktar ketika melawat jambatan putus di Jalan Melangkap Piasau hari ini.

“Satu pasukan task force diperlukan bagi meneliti pelan penyelesaian jangka masa panjang terhadap kawasan yang sering dilanda bencana di samping itu mengenal pasti kawasan berisiko tinggi untuk sesuatu bencana berlaku.

“Pasukan pemantau ini juga perlu bersedia mendepani sebarang kemungkinan dan penyelesaian segera bila sesuatu bencana berlaku,” jelas beliau selepas mengadakan tinjauan  jambatan putus di Jalan Melangkap Piasau dekat sini.

Ujar Bung yang juga Menteri Kerja Raya, Jambatan Jalan Melangkap Piasau Gaur yang terputus sedang dibaik pulih dan dijangka boleh digunakan dalam tempoh seminggu.

“Pembaikan jambatan ini merupakan tindakan segera diambil bagi memudahkan penduduk sini menjalankan aktiviti harian sebelum rancangan bina semula jambatan dilaksanakan,” tambah beliau.

Jabatan Jalan Melangkap Piasau Gaur terputus pada Isnin lepas akibat hujan lebat berterusan dan juga menyebabkan banjir di beberapa daerah di negeri ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Richard Jomiji Kinsil, Serta Pegawai Daerah Kota Belud, Diyanah Abdullah. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

855