Parah Jika PKP Kedua

Jika aktiviti pengeluaran ekonomi dikejutkan lagi PKP, wujud kebimbangan risiko ekonomi akan menjadi lebih parah.

Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan langkah yang diharapkan berikutan ia akan menjejaskan ekonomi negara.

Pakar Ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, pelaksanaan PKP yang lalu menyebabkan kesan ekonomi yang besar kepada pekerja, perniagaan dan sektor ekonomi.

Katanya, pada pihak pekerja, ia menyaksikan jumlah kehilangan pekerjaan yang besar berbanding tahun sebelum ini.

“Daripada Januari hingga September 2020, sebanyak 79,984 orang kehilangan pekerjaan…jumlah dua kali ganda lebih besar berbanding 2019.

“Bagi kerajaan, sejarah tercipta akibat Covid-19 apabila tahun ini menyaksikan paling banyak pakej rangsangan ekonomi dilaksanakan bagi tempoh yang singkat.

“Pakej rangsangan Prihatin, Prihatin PKS+, Penjana dan Kita Prihatin yang semua berjumlah RM305 bilion adalah satu jumlah yang besar yang boleh memberi implikasi kepada kedudukan kewangan kerajaan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Mohd Yusof berkata, ekonomi juga sudah menunjukkan tanda positif ke arah pemulihan.

Beliau berkata, kadar pengangguran juga sudah berkurangan daripada 5.3 peratus pada Mei 2020 kepada 4.9 peratus Jun lalu dan turun lagi kepada 4.7 peratus pada Julai.

“Kadar penghunian hotel pula meningkat daripada 19 peratus pada Mei kepada 39 peratus September lalu.

“Begitu juga kekosongan pekerjaan di pasaran juga meningkat menyebabkan kadar pengangguran dan kehilangan pekerjaan berkurangan.

“Justeru, jika aktiviti pengeluaran ekonomi dikejutkan lagi PKP, wujud kebimbangan risiko ekonomi akan menjadi lebih parah,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *