Tindakan Segera Akan Diambil – Bung Moktar

Bung Moktar Radin

… Jalan raya beberapa kawasan terjejas akibat tanah runtuh

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengambil tindakan segera berhubung keadaan jalan raya yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan.

Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya meminta pengarah JKR dan jurutera daerah untuk memantau keadaan jalan raya yang terjejas berikutan hujan lebat sejak kelmarin.

Katanya, tindakan segera perlu diambil terutama di kawasan jalan raya yang berlaku tanah runtuh supaya tidak menjejaskan penduduk.

“Sekiranya jalan raya berkenaan di bawah jagaan syarikat konsesi, mereka diminta mengambil langkah pro-aktif untuk membersihkan dan membaik pulih runtuhan terbabit dengan kadar yang segera,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, bagi kes jambatan runtuh di Kampung Melangkap Kota Belud, pihaknya turut meminta jurutera daerah dan pengarah JKR meneliti kerosakan yang berlaku.

Menurutnya, jika ia melibatkan tanggungjawab jabatan, tindakan serius akan diambil untuk memperbaikinya melalui peruntukan kecemasan.

Pihaknya juga akan melakukan lawatan ke beberapa tempat yang dilanda banjir bagi melihat sendiri punca berlakunya banjir kilat untuk tindakan susulan.

Katanya, kerajaan juga akan menaik taraf sistem perparitan sebagai langkah bagi mengatasi banjir kilat di beberapa tempat khususnya di sekitar Kota Kinabalu dan daerah yang berhampiran.

Beliau berkata, sistem perparitan sedia ada tidak mampu mengalirkan air dengan baik menyebabkan rumah-rumah di kawasan tanah rendah dinaiki air.

Menurutnya, banjir yang berlaku berikutan hujan lebat agak luar biasa. Selain beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu yang dilanda banjir kilat, beberapa daerah lain seperti Kota Belud dan Tuaran turut sama dilanda banjir yang serius.

Bung berkata, sistem perparitan yang akan dinaik taraf dapat membantu para penduduk dari ancaman banjir kilat terutama pada musim hujan.

Pada masa sama, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan bagi menjalinkan kerjasama untuk menangani masalah banjir kilat yang sering berlaku.

Katanya, beberapa faktor lain seperti pembinaan jalan raya dan pembangunan yang lain antara punca berlakunya kejadian banjir kilat.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak pemaju dan kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan agar dapat memastikan sistem perparitan sementara dapat dibina.

Selain itu jelasnya, pihak terbabit juga perlu sentiasa memantau dari segi kebersihan agar tidak berlaku halangan yang boleh menyebabkan saluran air tersekat.

Katanya, keadaan itu juga menyebabkan jalan raya sedia ada mudah dinaiki air hingga mengakibatkan kesukaran bagi kenderaan melaluinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *