Tanah Runtuh Punca Pengguna Terpaksa Berpatah Balik

Tanah runtuh di Jalan Logkou – Bungaliu, Kiulu. Foto Ihsan pembaca

TUARAN: Lebih 500 pengguna kenderaan di Kiulu terpaksa berpatah balik apabila berlaku tanah runtuh di dua jalan selain laluan dinaiki air susulan hujan lebat selama tiga jam bermula jam 6 pagi tadi.

Difahamkan, kira-kira jam 1 tengah hari, dua runtuhan sepanjang 30 meter berlaku di Jalan Kiulu-Tamparuli berhampiran Kampung Rangalau Baru, Kiulu dan Kampung Kionsom Lama menyebabkan laluan terputus.

Penduduk, Edwin Matusah, 36, berkata, dia dan ahli keluarganya yang mahu pulang ke Kota Kinabalu terpaksa berpatah balik apabila hampir semua jalan menghala ke pusat bandar ditutup akibat tanah runtuh dan banjir.

“Sebaik hujan berhenti, kami memulakan perjalanan ke Kota Kinabalu dari kampung selepas bercuti namun apabila tiba di Bayaon, laluan terputus akibat banjir lumpur dan kami terpaksa menggunakan laluan alternatif.

“Bagaimanapun kami terpaksa berpatah balik ke kampung semula apabila laluan alternatif di Jalan Logkou-Bungaliu menghala Tamparuli berlaku runtuhan manakala Jalan Logkou menghala Telipok pula banjir,” katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga bersyukur kerana dapat mengelak beberapa runtuhan jalan selain banjir di sepanjang jalan menghala Kota Kinabalu.

Di Tamparuli, laluan Jambatan Lama turut ditutup apabila Sungai Tuaran mencecah paras bahaya sehingga ke kawasan tapak Tamu Rabu.

Di perumahan Taman Sri Rugading, Tuaran, laluan sehingga pekan Telipok turut dilanda banjir manakala di Ranau, dua kejadian tanah runtuh sepanjang 20 hingga 50 meter turut berlaku kira-kira jam 10.30 pagi.

Lokasi terbabit ialah Kilometer 88.20, Jalan Kota Kinabalu–Sandakan berhampiran Taman Kinabalu dan laluan berhampiran simpang ke Bundu Tuhan di Kilometer 86.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik đŸ‘‰ https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *