142 Individu Diarah Patah Balik Hari Pertama Larangan Rentas Daerah

 SJR Jalan Apas yang dilaksanakan di daerah Tawau.

TAWAU : Seramai 142 individu diarah patah balik dalam tempoh larangan rentas daerah yang berkuatkuasa bermula awal pagi tadi di lapan Sekatan Jalan Raya (SJR) di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, setakat 24 jam yang lalu pihaknya bersama pasukan pemantau yang lain sudah memeriksa sebanyak 4044 buah kenderaan di semua SJR.

“Jumlah anggota yang bertugas di semua SJR pula tidak berubah dan tiada pertambahan dilakukan, manakala semua petugas berganti-ganti menjalankan kawalan selama 24 jam tanpa henti.

“Setakat ini tiada lagi tangkapan dibuat dan hasil tinjauan di semua SJR, masyarakat Tawau mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat Bersyarat (PKPDB) yang dilaksanakan di empat buah daerah,”katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, untuk daerah Tawau SJR dilaksanakan di Batu 2 Jalan Apas, Jambatan Putih, KM50 Tawau-Semporna, Tanjung Batu, Merotai Besar, Batu 6 Jalan Apas, Jalan Chong Thien Vun dan Jalan Check Point (RCP) Kalabakan.

Sementara itu, tinjauan penduduk Tawau terhadap penguatkuasaan perintah larangan rentas daerah yang diumumkan oleh kerajaan mendapat reaksi positif.

ZUBAIDAH.
ZUBAIDAH.

Sitti Zubaidah Talata berkata penguatkuasaan ini merupakan satu usaha yang sepatutnya dilakukan lebih awal lagi supaya wabak COVID-19 tidak merebak dengan cepat.

“Seharusnya pelaksanaannya dibuat semasa kerajaan mengumumkan PKPDB iaitu 29 September lalu memandangkan jumlah pesakit positif wabak dan kluster semakin meningkat.

“Kita sedia maklum wabak tersebar bermula di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna, oleh itu sememangnya sangat tepat larangan rentas daerah dilaksanakan supaya dapat menyekat penularan wabak,”katanya.

Zubaidah berkata, pihak berkuasa juga diharap dapat meningkatkan kawalan di perairan negara bagi memastikan pencerobohan pendatang tanpa izin (PTI) dapat dibanteras.

“Penularan utama sehingga berlakunya kluster benteng disebabkan pencerobohan PTI dari negara jiran dan sememangnya penjagaan rapi di sempadan sangat perlu bagi membendung penyebaran wabak import,”katanya.

WAHAB.
WAHAB.

Pandangan itu turut dipersetujui oleh Wahab Muhammad,38, berkata larangan rentas daerah ini dilaksanakan demi kebaikan semua pihak dalam mengekang penularan COVID-19.

Beliau berkata, larangan merentas daerah sedikit sebanyak membataskan pergerakan terutama kepada mereka yang berulang alik keluar daerah setiap hari.

“Dijangkakan sekiranya ini berlarutan lebih lama, ramai yang akan hilang pekerjaan disebabkan pandemik COVID-19 ini, namun arahan kerajaan harus dipatuhi kerana ia untuk kebaikan rakyat.

“Rakyat harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan hindari pandemik itu supaya tidak perlu lagi melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bakal meruntuhkan ekonomi kita,”katanya.

Wahab berkata, walaupun mungkin pergerakan akan terbatas tetapi sangat bersetuju jika cara ini dapat membantu mengurangkan kes COVID-19 dan sebagai langkah untuk memutuskan rangkaiannya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3491