Belum Masanya Untuk PKP Lagi

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahupun menguatkuasakan larangan merentas negeri atau daerah buat masa ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada keperluan lagi untuk perintah itu dilaksana mengambil kira situasi semasa Covid-19.

“Saya tahu ramai orang tunggu saya… PKP ke hari ini? Ramai yang nak tahu… tidak, kita (kerajaan) tidak akan mengisytiharkan PKP kerana jika kita tengok semalam, 287 kes baharu direkodkan yang 113 kes di Sabah itu, 35 daripadanya daripada Kluster Benteng yang ada dalam penjara.

“Sebanyak 129 di Kedah pula, 128 kes juga di dalam penjara, manakala kalau tengok di seluruh negara, di negeri-negeri lain hanya Selangor sahaja 31 kes dan itu belum sampai zon merah iaitu 40 kes. Negeri-negeri lain satu ke tiga kes sahaja.

“Perlis 0 kes; Johor, KL (Kuala Lumpur), Labuan, Pahang satu kes; Kelantan, Negeri Sembilan dua kes; Perak, Terengganu tiga kes… jadi kita tengok satu kes dua kes setiap negeri merupakan satu perkara yang tidak membimbangkan lagi,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas MKN berkenaan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, mustahil untuk memastikan virus Covid-19 tiada dalam negara dan sekatan menyeluruh di seluruh negara juga tidak mungkin dilakukan hanya kerana satu dua kes di beberapa negeri.

“Saya sudah kata kita takkan ada kosong kes sebab virus ini masih ada. Kalau sebab satu dua kes kita nak ‘lock’ (sekatan), sampai bila-bila pun negeri-negeri ini tidak akan dibuka kerana PKP terus dikenakan,” katanya yang turut memberitahu tiada keperluan lagi untuk mengadakan larangan rentas negeri.

Menurutnya juga, sekatan hanya akan dilaksana di lokaliti yang disahkan zon merah, yang mana ketika ini hanya membabitkan empat daerah di Sabah yang dikenakan PKP Diperketatkan Bersasar (PKPDB).

“Contohnya di Selangor, kalau tiba-tiba kes tinggi, kita akan tengok kawasan yang dianggarkan merah, kita takkan ‘lockdown’ seluruh negeri itu,” katanya.

Semalam, negara merekodkan 287 kes Covid-19, menjadikannya jumlah kes harian tertinggi pernah dicatatkan setakat ini.

Semua kes itu membabitkan penularan tempatan.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2407