Lapan SJR Dibuka Sepanjang PKPDB Di Lahad Datu

Pihak polis membuat pemeriksaan rapi terhadap pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya di simpang Beluran.

LAHAD DATU: Lima lagi lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) akan dibuka sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) mengekang penularan COVID-19 di daerah ini.

Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nasri Mansor, SJR yang akan dibuka itu ialah di Payang, Simpang Jeroco, Batu Satu Jalan Segama, Kampung Muhibbah dan Silabukan.

Katanya, setakat ini terdapat tiga SJR yang aktif iaitu di Kampung Puyut, Kaka Plastik dan Gate 55 Felda Sahabat menjadikan semua SJR di Lahad Datu berjumlah lapan.

“Daerah ini mempunyai tiga SJR dan akan ditambah lima lagi bagi mengawal pergerakan awam keluar dan masuk.

“Semua pergerakan rentas daerah (masuk dan keluar) di larang sama sekali kecuali essential service,” katanya di sini, semalam.

Dari tinjauan, tiga jalan tumpuan juga ditutup iaitu laluan depan Ramai-Ramai, Airport dan Bakawali menuju ke pusat bandar Lahad Datu.

Didapati, semua premis yang diarah untuk menutup operasi dipatuhi peniaga dan laluan hadapan premis yang kebiasaannya menempatkan penjaja harian turut kosong dan lengang.

Kecuali perkhidmatan perlu dan premis yang menjalankan operasi melibatkan bekalan dan rantaian makanan, kelihatan kunjungan orang ramai ke premis-premis itu namun jumlahnya terhad.

Pada perkembangan berkaitan, Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana, Jiraimin Jadil berkata, masyarakat di daerah ini dinasihatkan tidak panik dan bertindak sehingga mencetuskan kecemasan kepada komuniti.

“Pihak pengurusan sedang berusaha dengan kekuatan petugas seluruh jabatan berkenaan untuk memastikan kita dapat melalui situasi ini dengan terkawal dan berakhir dengan baik.

“Saya mengharapkan agar segala usaha yang dilakukan mendapat kerjasama sepenuhnya demi memastikan kita di daerah ini selamat dari ancaman COVID-19,” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 089881255.

Kelmarin, PKPDB secara pentadbiran dilaksanakan di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna bermula 12.01 sehingga 12 Oktober melibatkan 926,661 penduduk.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1557