Pengurus Syarikat Di KK Ditahan Di Labuan Kerana Ingkar Perintah Kuarantin

LABUAN: Seorang lelaki tempatan, 50, yang bertugas sebagai pengurus syarikat swasta di Sabah ditahan polis di sini kerana disyaki mengingkari perintah kuarantin.

Ketua Polis Daerah WP Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima aduan pegawai keselamatan sebuah jabatan kerajaan di sini pada 29 Sept, jam 9.30 pagi menyatakan suspek berkunjung ke pejabat berkenaan untuk urusan peribadi.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, polis menahan suspek kira-kira 7.00 petang hari yang sama,” katanya.

Farid berkata, penahanan dilakukan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Dalam aduan dinyatakan suspek berkenaan yang diperintahkan menjalani kuarantin oleh Jabatan Kesihatan W.P. Labuan telah datang ke pejabat kerajaan itu untuk urusan peribadi.

Jelasnya, siasatan awal menunjukkan suspek didapati masuk ke Wilayah Persekutuan Labuan melalui Terminal Feri Antarabangsa pada 27 Sept dan telah mendapat arahan perintah kuarantin (ANNEX 14b) bermula 27 September sehingga 10 Oktober 2020.

Suspek berkenaan katanya telah diarahkan membuat ujian saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan W.P Labuan pada 29 September.

“Namun setelah selesai ujian saringan, suspek tidak balik menjalani perintah kuarantin, sebaliknya terus ke pejabat kerajaan itu untuk urusan peribadi,” katanya.

Menurut Farid, setakat ini belum ada keputusan ujian saringan COVID-19 yang dikeluarkan untuk suspek dan kes masih dalam siasatan pihak polis.

Katanya, kes berkenaan diklasifikasi di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa orang lain.

Kesalahan berkenaan juga boleh disabitkan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, iaitu tidak mematuhi perintah sah yang dikeluarkan pegawai yang diberi kuasa.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, jika disabitkan kesalahan pertama boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, hukuman penjara boleh dikenakan sehingga tempoh tidak melebihi lima tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Berkenaan kesalahan yang berterusan, pesalah boleh didenda selanjutnya tidak melebihi dua ratus ringgit bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan.

Farid menasihatkan orang awam yang telah mendapat Arahan Perintah Kuarantin(ANNEX 14b) daripada Jabatan Kesihatan W.P. Labuan agar patuh kepada arahan kuarantin dan tidak berada di mana-mana kawasan awam.

Katanya, tindakan undang-undang akan diambil kepada mana-mana orang awam yang didapati ingkar kepada perintah berkenaan.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2537